Ticker

6/recent/ticker-posts

Lari Rumah Kerana Tak Tahan Mak Membebel & Terlanjur Dengan Banyak Lelaki


Assalamualaikum

Hari nie acik terpanggil untuk berkongsikan kisah ini kepada kamu semua serta dengan pandangan dari seorang yang lebih berilmu... so baca dan hayati ,semoga kita dapat manfaat bersama..

SOAL JAWAB AGAMA

Oleh: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Saya seorang gadis berumur 18 tahun yang pernah lari dari rumah kerana saya rasakan tidak ada kebebasan dan emak pula suka membebel dan marah. Akibatnya saya telah terlanjur dengan banyak lelaki berulang kali, biarpun saya sebenarnya dipaksa.

Sekarang saya benar-benar menyesal. Saya rasa diperbodohkan. Sekolah saya tidak habis. Bapa saya tahu apa yang berlaku. Adakah saya masih mempunyai harapan dan apakah penyelesaian yang patut saya ambil? - GADIS INSAF, Kuala Lumpur.

JAWAPAN: Saudari lahir dalam keluarga yang baik-baik. Saudari beruntung masih mempunyai ibu dan bapa, juga adik-beradik yang menyayangi saudari sepenuhnya.

Menurut surat yang dikirimkan, saudari menyatakan bahawa segala-galanya disediakan di rumah, tetapi saudari masih tetap tidak rasa aman duduk di rumah. Tidak bebas, emak suka membebel dan selalu marah.

Ibu saudari marah kerana saudari lebih banyak mementingkan diri. Balik sekolah terus memerap dalam bilik, tidak mahu menyentuh atau membantu kerja-kerja baik di dapur ataupun di luar rumah. Keluar bilik tahu-tahu makan. Lepas makan, tinggalkan pinggan dan segala-galanya lalu masuk memerap dalam bilik semula.

Andainya saudari seorang manusia yang boleh menggunakan akal dengan baik tentunya saudari sedar yang saudari ini terlalu mementingkan diri sendiri. Saudari jadikan ibu saudari tidak ubah sebagai babu, menyuapkan nasi sejak dilahirkan sehingga umur dewasa.

Bagi seorang ibu, menasihati anaknya agar menjadi manusia baik adalah tanggungjawabnya. Walaupun demikian, apabila teguran itu berlaku berulang kali, pada hal kesannya begitu positif, dalam keadaan tertentu perbuatan si ibu itu mungkin dianggap sebagai berleter, ataupun mengeluarkan suara yang sia-sia yang tidak memberi faedah. Apabila nada suaranya meninggi, keadaan sedemikian rupa saudari anggap sebagai marah.

Saudari tidak tahu betapa besarnya nikmat Allah yang diberi kepada saudari. Ibu bapa yang mengasihi anak. Tidak kurang makan dan minum di rumah.

Amalan menegur atau marah daripada seorang ibu kepada anaknya adalah tanda kasih sayang dan tanggungjawab. Walaupun demikian, akibat tidak berupaya menghargai nikmat yang wujud dalam keluarga tadi, saudari akhirnya lari.

Saudari keluar rumah untuk lari daripada mendengar suara ibu penyayang yang berleter atau marah. Konon mencari ketenangan dan kebebasan, sebebas burung liar di ufuk langit. Lupa langsung burung-burung helang berparuh tajam yang memang lama menunggu mangsanya. Memang begitulah tabiat manusia.

``Sedikit sekali manusia yang berterima kasih terhadap nikmat Allah s.w.t.'' - (Saba': 13).

``Tabiat semula jadi manusia memang lebih berkecenderungan untuk melakukan kejahatan.'' - (Yusuf: 53)

``Dalam masa yang sama iblis dan syaitan sentiasa berusaha untuk menipu dan menyesatkan manusia, agar mereka menjadi sebahagian daripada penghuni neraka.'' - (al-Hijr: 390).

Dalam surah al-Hijr: 39 dan al-A'raf: 15 dijelaskan bahawa setelah iblis dilaknat Allah dan dihukumkan kafir akibat tidak mahu sujud menghormati kejadian Allah (iaitu sujud kepada Adam), iblis telah bersumpah akan menipu manusia. Iblis menyebabkan manusia yang tertipu itu memandang perkara-perkara yang baik itu buruk, manakala perkara yang buruk itu baik. Iblis juga bersumpah akan menyesatkan semua manusia, kecuali mereka yang ikhlas.

Saudari termasuk dalam golongan mereka yang menganggap sesuatu yang baik itu buruk. Menganggap teguran ibu sebagai leteran, kata sia-sia. Menganggap nasihat yang diberi berulang kali itu sebagai kemarahan. Saudari mempunyai sifat mementingkan diri sendiri. Suka memerapkan diri dalam bilik, tidak mahu menolong kerja-kerja ibu. Saudari boleh menonton televisyen berjam-jam, tetapi kaku tangan dan kaki untuk menolong kerja dapur biarpun untuk 10 minit.

Akibat memendam rasa begitu lama di rumah, saudari menganggap lari dari rumah itu sebagai satu perbuatan yang baik, pada hal amalan itu adalah buruk dan merbahaya.

Setelah iblis bersumpah akan menipu manusia untuk membawa mereka ke neraka, Allah s.w.t menyatakan bahawa iblis dan konco-konconya tidak mempunyai keupayaan berbuat demikian, kecuali terhadap mereka yang menurut langkah-langkah iblis dan syaitan yang terdiri daripada golongan orang yang sesat. - (al-Hijr: 420). Merujuk kepada kes saudari, saudari adalah termasuk dalam golongan mereka yang dapat disesatkan oleh iblis dan syaitan, di mana akhirnya saudari terlibat dalam perbuatan zina dengan banyak lelaki.

Mungkin benar saudari terlanjur bukan atas kerelaan diri. Pada teorinya pengakuan saudari itu mungkin benar, namun amalannya, apabila seorang perempuan semuda saudari lari dari rumah, lari daripada kawalan ibu bapa ke rumah teman perempuan yang juga mempunyai masalah seperti saudari, yang mempunyai banyak kawan lelaki yang juga hidup bebas, adalah terlalu sukar untuk menyatakan bahawa perzinaan itu dapat dielakkan.

Saudari pada hakikatnya terlalu mentah dan masih berhingus untuk berhadapan dengan kehidupan di luar kawalan ibu bapa. Tidak terfikir apa yang hendak dimakan bila perut kosong dan kehabisan wang. Di mana hendak tidur apabila mengantuk. Di mana hendak basuh kain baju apabila bekalan pakaian semua sudah lembap berbau busuk. Terlalu besar pengorbanan ibu bapa apabila semuanya ini dapat difikiri. Namun segala-galanya seolah-olah mencabar agar saudari cepat-cepat keluar dari rumah. Terlalu besar harga yang saudari bayar untuk mencari kebebasan di luar kawalan ibu dan bapa, iaitu menjadi mangsa seks ramai lelaki.

Akibat daripada tindakan tersebut saudari tidak dapat menamatkan pelajaran. Saudari termasuk dalam golongan mereka yang rugi pada hal peluang belajar terbuka luas. Orang yang sebaya dengan saudari sepatutnya sedang berusaha belajar memeras otak untuk menjadi manusia yang berguna untuk negara, bangsa dan agama, bakal penghuni syurga, kekal selama-lamanya.

Akibat tunduk kepada nafsu saudari merasakan dunia ini gelap gelita, tidak mempunyai masa depan. Segala-galanya terasa telah musnah sama sekali.

Peristiwa yang berlaku akan terus menerus menghantui pemikiran. Terasa diri begitu hina dan kotor, lebih-lebih lagi ia melibatkan banyak lelaki. Mereka melakukan perzinaan dengan saudari semata-mata untuk memuaskan nafsu. Malah saudari sendiripun sedar bahawa saudari sebenarnya hanya merupakan satu objek untuk memuaskan nafsu jantan-jantan liar.

Saudari boleh mendakwa bahawa apa yang berlaku bukan di atas kerelaan diri. Ini mungkin boleh diterima kalau ia berlaku hanya sekali. Tetapi apabila ia berlaku berulang kali dan dengan lelaki yang berlainan, dakwaan saudari seumpama dibuat-buat.

Untuk menjadi manusia sempurna, seseorang itu perlu mempunyai ketahanan jasad, roh juga akal yang sempurna. Saudari telah melakukan salah satu daripada dosa besar. Akibat daripadanya saudari mengalami stress dan sakit saling berganti.

Untuk mengatasinya, saudari mesti balik ke pangkal jalan. Kembali kepada Tuhan iaitu Allah. Sesungguhnya Allah s.w.t itu Maha Pemurah Lagi Mengasihani. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Allah itu Maha Agung dan tidak memungkiri janji-janji-Nya.

Saudari mesti bertaubat. Menyesal tidak akan mengulanginya. Putuskan hubungan dengan kawan-kawan, jauhkan tempat-tempat yang pernah saudari pergi atau kunjungi di mana maksiat terjadi. Jangan diungkit atau diselitkan di celah-celah otak gambaran-gambaran lama yang memberahikan, termasuk lain-lain pandangan dan ingatan sama ada di televisyen, majalah, wayang, gambar-gambar dan sebagainya.

Perbanyakkan ibadat sama ada ibadat yang melibatkan Allah atau manusia, atau kedua-duanya sekali. Semoga dengan demikian ibadat yang dilakukan itu boleh menghapuskan dosa-dosa yang lalu. Untuk beribadat dengan baik saudari perlu mempunyai ilmu. Ilmu tidak akan diraih kecuali dengan belajar.

Tindakan lain yang mesti dibuat ialah mendirikan sembahyang. ``Sesungguhnya sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.'' - (al-ankabut: 45). Perbuatan zina adalah kejahatan dan kemungkaran. Apabila seseorang itu melakukan ibadat sembahyang dengan betul dan diterima Allah sembahyangnya, maka sembahyang yang dilakukan itu akan mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran termasuk zina.

Untuk memperoleh sembahyang yang betul dan diterima Allah, saudari mesti mempelajarinya dengan sempurna agar berupaya menghayati hakikat sembahyang, keperluan ibadat ini dalam usaha membentuk peribadi yang baik. Perlu juga difahami bahawa untuk melakukan ibadat tersebut halangan-halangannya terlalu banyak terutama daripada iblis dan syaitan.

Banyak hal yang berkaitan dengan ibadat sembahyang yang perlu dipelajari dan difahami. Tanpa pemahaman yang secukupnya, seseorang itu akan hanya melakukan sembahyang main ikut-ikut sahaja, menyebabkan sembahyang yang dilakukan itu tidak boleh mencegah si pelaku daripada melakukan kejahatan. Betapa ramai orang yang melakukan sembahyang tetapi sembahyang yang dilakukan itu tidak boleh mencegah si pelaku daripada melakukan kejahatan.

Betapa ramai orang yang melakukan sembahyang, dalam masa yang sama ia tetap melakukan maksiat, termasuk maksiat, rasuah, menyalahgunakan kuasa, menipu dan sebagainya.

Saudari telah meminta maaf kepada kedua-dua ibu bapa. Situasi seperti ini lebih mudah berbanding andainya ia masih tetap menjadi rahsia diri. Buktikan bahawa penyesalan dan janji-janji taubat yang dilakukan di hadapan kedua-dua orang tua itu menjadi satu realiti.


Saudari telah melukakan hati mereka selama ini dan telah mengetepikan segala kebaikan yang dilakukan. Walaupun demikian, andainya saudari berupaya mengotakan janji-janji yang diberi, saudari akan dapat membaca gambaran kemaafan di wajah mereka.

Ketentuan qadak dan qadar adalah di tangan Tuhan. Namun demikian setiap sesuatu itu ada mempunyai sebab musabab. Ketentuan qadak dan qadar itu tidak akan diubah kecuali dengan doa. Sesungguhnya masa depan saudari terletak pada ikhtiar diri sendiri. Dalam masa yang sama saudari perlu perbanyakkan doa. Sesungguhnya doa itu adalah otak ibadat.


Catat Ulasan

14 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
maaakkk panjang nyee..penat bace..tp bace la jugak untuk pengetahuan..hihihi
nape la remaja sekarang otak men cetik lagi..die owg pikir laki nak ker pada pempuan yang dah xder dara...OMG..xpikir panjang laa..dah la DARA tu 1 jerk..jaga la seperti emas..
Akupenghibur.com berkata…
ermmm thu x pe ,...memang panjang hehehehe tpi apa pon itulah perempuan moden
faizah husna berkata…
sbb tuh org ckp mse remaja lah usia paling kritikal..sbb mcm2 akn brlaku di usia nih.. jika dia bijak mnggunakan akal fikirannya, InsyaAllah hidupnya akn lebih cerah..
Akupenghibur.com berkata…
sokong gn kata-kta husna
Maya Zhang Ai Ly berkata…
Sesal dahulu pendapatan da x da guna....masa remaja msti la d penuhi ngan kenangan indah bkn peristiwa hitam...
nurpiska berkata…
emak membebel untuk kebaikan. membebel lagi bagus dari memukul.
'idun sa'idun berkata…
kadang-kadang manusia ni hanya akan sedar bila masing-masing dah bergelar ibu atau bapa... (tapi x bole pakai utk mrk yg buang anak merata tu..huhuhu..)
guess? berkata…
Manusia ini sering lupa akan asal usul diri mereka. Kesian kepada ibu bapa yang sudah menjaga anak mereka bagaikan menatang minyak yang penuh. Sedih hati melihat ramai lagi remaja yang masih dalam kegelapan. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka...Amin.
PCL berkata…
sukarnya jaga anak yg tak mahu dgr kata..terlebih kata dianggap berleter tak dinasihat makin menjadi.., sedarlah, suatu hari nanti kita juga akan punyai anak dan perkara yg sama akan berulang. Nauzubillah !
mendidik anak biar dari rebung,kadang tu ada ibu bapa yang sayang anak-anak sampai tak pernah di jentik masa kecil so bila nak meningkat remaja maka kalau kita baru nak mula berleter memang anak tu akan memberontak so kalau boleh sayang anak tu kenalah sekali sekala tangan2kan tapi bukan pukul dgn perasaan marah tapi pukul dgn niat untuk kebaikan...jangan tunggu rebung dah jadi buluh baru nak lentur memang...susah,saya ada dua anak perempuan yg sedang remaja tapi bila saya bersuara dorang akan patuh coz saya dah biasakan kalau salah di rotan sejak dia mula pandai bercakap!!!!!kerja rumah semua di ajar buar seawal usia 8thn,bila remaja dia dah biasa tak perlu kita berleter,mereka tahu tanggungjawab masing2.
nadira shahid berkata…
jawapan dr amran memang menusuk kalbu, jrang dapat jawapan yang betul2 memberi impak *ditambah sound effect yg lagi syahdu ;p*
selagi ibu masih hidup, hargailah.. anggap bebelan ibu sebagai pujian ;) suke dengar ibu bebel, tu tandanya ibu ambil berat dengan saya ;)
Unknown berkata…
Perangai mcm ni memang ngam di bg mkn pnampar...
Unknown berkata…
Perangai mcm ni memang ngam di bg mkn pnampar...