Assalamualikum
Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah
seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi
dan visi yang sangat agung.
Seorang remaja yang begitu
hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman,
seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu
mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu,
Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.
Suatu
hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam
perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah
melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup
membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu
Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.
"A'uzubillah!
Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah
S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku
dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."
Rintihan Tha'labah
Dia
merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah
S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah
yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut
dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat
dengan dosanya.
Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W
menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung
tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari
Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di
puncak bukit.
Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa?
Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril
kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk
neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh
sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya
pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah
sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.
Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
Cita-citanya hanya Syurga
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu
Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa
yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika
mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan,
Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan
kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah
berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan,
dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."
Itulah
kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya
beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang
perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu
mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang
terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan
jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!
Lihat
diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang
sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat
dosa yang tidak sengaja?
Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.
1 Ulasan