Assalamualaikum
Alhamdulilah dapat lagi kita bersama di penghulu segala hari, seperti biasa acik hari jumaat acik akan kongsikan tentang kisah tauladan untuk peringatan kita bersama dan baiki diri ini yang banyak kekurangan.Ajal maut di tangan Allah. Tak kira usia kita muda atau tua dan kita
tetap akan dijemput-Nya. Tapi tak tahu bila. Ingatlah bahawa mati itu
terlalu hampir kepada kita. Walaupun kita berada jauh di perantauan,
berada di tempat yang laungan azan tidak kedengaran untuk mengingatkan
kita tentang kebesaran-Nya, di kelilingi dengan manusia yang sering
memandang ringan akan perintah Allah dan hanyut dengan hanya kesukaan
sahaja di atas dunia ini. Oleh itu marilah kita ingat-mengingati tentang
datangnya hari di mana hanya amal dan kiriman doa saja yang akan
mengiringi kita untuk menemui-Nya.
Baginda Rasulullah saw pernah bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu
kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan seseorang dan
kemudian mereka menarik ruhnya melalui kedua-dua telapak kakinya
sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat
yang lain yang masuk dan menarik ruh dari lutut hingga sampai ke perut
dan kemudiannya mereka keluar. Kemudian datang pula satu kumpulan
malaikat yang lain, masuk dan menarik ruhnya dari perut hingga sampai ke
dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu
kumpulan malaikat masuk dan menarik ruh dari dadanya hingga sampai ke
kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
Sambung Rasulullah saw lagi:
"Kalau orang yang bernazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril
a.s. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang
bernazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang
beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada
di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan
melihat terus pandangannya kepada sayap Jibril a.s."
"Kalau orang yang bernazak itu orang munafik, maka Jibril a.s. akan
menebarkan sayapnya di sebelah kiri. Maka orang yang bernazak itu dapat
melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi
melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya
apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya."
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah SWT menghendaki seorang mukmin
itu dicabut nyawanya, maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat
maut hendak mencabut ruh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah
zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:
"Tidak ada jalan bagimu mencabut ruh orang ini melalui jalan ini kerana
orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah SWT."
Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali
kepada Allah SWT dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang
mukmin itu. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."
Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah daripada Allah SWT maka
malaikat maut pun cuba mencabut ruh orang mukmin dari arah tangan. Tapi
keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan
kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan:
"Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut ruh orang mukmin dari arah ini,
tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala
anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut ruh orang mukmin dari
arah tangan, maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya
malaikat maut juga gagal melakukannya sebab kaki berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan
berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga
berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."
Apabila gagal malaikat maut mencabut ruh orang mukmin dari arah kaki,
maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat
maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut ruh orang mukmin dari arah
mata, tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka mata berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat
beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana
takutkan Allah."
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikat-Ku, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada ruh orang yang beriman itu."
Sebaik saja mendapat perintah Allah SWT, maka malaikat maut menghampiri
ruh orang itu dan menunjukkan Asma Allah SWT. Sebaik saja melihat Asma
Allah dan cintanya kepada Allah SWT, maka keluarlah ruh tersebut dari
arah mulut orang mukmin dengan tenang.
Abu Bakar r.a. telah ditanya tentang ke mana ruh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar r.a:
"Roh itu menuju ketujuh tempat:
1. Roh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara, tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka disiksa berserta jasadnya sehingga sampai hari kiamat."
Telah bersabda Rasulullah saw:
"Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan.
3. Orang yang berpuasa dihari Arafah."
Semoga kita dapat manfaat bersama untuk entri ini., jadikan tauladan dan peringatan bersama.
27 Ulasan
1) Peringatan dan maklumat berguna mengenai kematian....dan roh anak saya kini di antara roh anak2 yang berada di gunung dari minyak misik...
2) Idea untuk mewujudkan slot entri mengikut hari.
Terima kasih banyak2 acik. Moga diberkati Allah selalu...
terima kasih atas peringatan yg sgt bermakna ni :)
Terima kasih berkongsi peringatan :)
Regards,
-Strider-
:"(