Assalamualaikum
Alhamdulilah masih lagi bernafas di muka bumi Allah ini, ucapkan syukur atas nikmat yang berikan kepada kita .Marilah berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Islam
menganjurkan agar setiap umatnya mengamalkan sikap bersederhana di dalam setiap
tindakan iaitu tidak berlebihan dan tidak pula melampau terutama di dalam berbelanja.
Dalam hal ini agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan
bagi umatnya:
Pertama al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak,
Kedua:
al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati,
ketiga: al-Thasiniat
iaitu keperluan yang lebih baik dan yang
keempat: al-Kamaliat iaitu keperluan
yang lebih lengkap.
Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam
mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan
yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat.
Menurut Imam as-Syatibi bahawa: al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar. Dalam hal ini Prof. Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa: sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun.
Sebagai seorang Islam tentunya kita
menyedari bahawa dalam menjalani kehidupan ini Allah SWT telah mengurniakan
berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya samada dalam bentuk
keamanan, kesejahteraan, kesihatan, kebahagian, kekayaan, umur yang panjang dan
sebagainya. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 18:
Bermaksud: “Dan jika kamu
menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat menghitungnya; sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Namun begitu, kadang kala dengan nikmat yang melimpah ini menyebabkan
seseorang itu lupa dan lalai bahawa sebahagian itu adalah ujian dari Allah SWT
kepada hamba-hambanya. Sebagai
umat Islam kita dituntut agar mensyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita
hendaklah mengurus segala pembelanjaan untuk keperluan hidup dengan
sebaik-baiknya setiap masa samada di waktu senang, lebih-lebih lagi di waktu
susah. Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut dikhuatiri kesan daripada
kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup boleh menyebabkan kita
meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari serta menyebabkan negara
kita berada dalam mundur dan terkebelakang. Bayangkanlah, jika fenomena ini berterusan ia pasti
mendatangkan beban kewangan pada diri dan keluarga umat Islam yang seterusnya
akan melahirkan sejumlah besar penghutang-penghutang di kalangan umat Islam.
Akhirnya, kadar kemiskinan makin bertambah dan ini membuka ruang kepada mereka
yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan seterusnya menindas umat
Islam. Justeru, tidak mustahil boleh tergadainya agama, bangsa dan tanahair
tercinta jika umat Islam terus dibelenggu oleh hutang.
Agama Islam tidak melarang umatnya
daripada berbelanja, tetapi hendaklah secara berhemah iaitu dengan memberi
keutamaan dan mendahului kepada perkara-perkara yang penting sahaja. Perlu
difahami gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan
tidak membazir. Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana
ianya perbuatan keji. Islam menyifatkan perbelanjaan boros dan pembaziran
adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan
menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin. Jika dasar berhemah ini diambil
kira, maka hak-hak serta kebajikan orang-orang fakir dan miskin dapat
ditunaikan sepanjang masa. Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara
syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut
kehendak nafsu. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 27:
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara
syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada
Tuhannya”.
Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini, bahawa
pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau mengunakan harta benda bukan pada
tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa
pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.
Renungilah kisah hidup Rasulullah SAW yang amat
bersederhana dalam semua keadaan, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada di
sekitarnya pernah ditawarkan agar ia dijadikan emas dan perak, akan tetapi
Rasulullah SAW menolaknya. Diriwayatkan juga bahawa dapur Rasulullah SAW
hampir enam puluh hari tidak berasap, Baginda dan isteri-isteri hanya menjamah
buah tamar dan air. Bukan kerana tidak mampu akan tetapi Rasulullah SAW suka
untuk hidup dalam keadaan sederhana dan tidak melakukan pembaziran serta
berbelanja mengikut hawa nafsu. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Dari
Abdullah katanya: Rasulullah SAW tidur di atas tikar dan bangun selepas itu
dalam keadaan badannya berbekas, maka kami katakan kepadanya, Ya Rasulullah,
sekiranya kami bawakan kepada kamu hamparan yang lembut, Rasulullah menjawab:
Apakah kedudukan aku dan dunia ini, Tidakkah aku di dunia ini melainkan
seumpama pengembara yang berteduh di bawah pokok kemudian berlalu
meninggalkannya”.(Riwayat at-Tirmizi)
Marilah sama-sama kita mengamalkan tuntutan
hidup bersederhana dan berjimat cermat sepanjang masa. Sebagai manusia yang beriman dan berintegriti hendaklah kita menjauhi sifat membazir agar mendapat
keberkatan hidup dari Allah SWT. Malahan dengan mengamalkan sikap berjimat
cermat ia akan mendatangkan banyak faedah kepada diri kita dalam banyak perkara
di antaranya, kita akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT, terselamat
dari muflis akibah hutang dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu serta
kita juga akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita di saat
menghadapi kesusahan.
Percayalah, sikap berjimat cermat ini bukan
sahaja dapat memberi kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat bahkan kita
akan mendapat ganjaran pahala serta keberkatan dari Allah SWT kerana sikap
sebegini pasti menjadi contoh dan ikutan terbaik buat anak-anak dan generasi
muda. InshaAllah, acik menaip ini juga untuk mengingati diri ini agar untuk meneruskan hidup yang bersederhana.
9 Ulasan
betul sebetulnya..tapi kebanyakan kita bila dah betul-betul kering baru ingat nak berjimat sebab terpaksa he he he..such a good reminder.Thanks!
perkongsian terbaik..
kita knalah bijak merancang perbelanjaan supaya x mbazir utk pkara y x sepatutnya.. paling penting besederhana dlm sgala hal...