Ticker

6/recent/ticker-posts

Terlepas Ganti Puasa Lepas ? Kiraan fidyah bagi yang lambat ganti puasa





Assalamualaikum.

Siapa ada tinggal puasa yang lepas ? dah bayar fidyah?

Fidyah ini apa ? 

Fidyah ialah kadar tertentu daripada makanan asasi setempat yang wajib dikeluarkan oleh orang tertentu sebagai ganti kepada puasa yang ditinggalkan

Dalil dari firman Allah Subhanahuwata'ala,

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

(yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Al-Baqarah,184

Hukum fidyah

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Prosedur membayar Fidyah

Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.

Sebab-sebab dikenakan fidyah

1. Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

2. Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

3. Ibu yang menyusukan Anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

4. Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

5. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Taksiran fidyah

(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = Fidyah

Kadar bayaran fidyah

Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).

Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 1435H, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80.

Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:
RM1.80 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM16.20
*Jumlah hari puasa yang wajib di qada tetap 3 hari sahaja. Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.
  
* Harga 1 cupak itu mengikut pada kadar zakat fitrah negeri masing-masing,


Fidyah sahaja,

1- Orang tua yang tidak berpuasa kerana tua dan tidak mampu berpuasa. Ia tidak wajib lagi qada puasa dan hendaklah mengganti dengan membayar fidyah.

2- Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh lagi, yakni sakit berpanjangan dan tidak mampu lagi berpuasa buat selamanya, tidak dituntut lagi mengqada puasa, akan tetapi hendaklah menggantikan puasanya dengan membayar fidyah.

Qada dan fidyah:

1- Wanita mengandung yang berbuka puasa kerana anaknya.Ini adalah menurut mazhab Syafi'i dan Hambali adapun menurut mazhab Hanafi ia hanya wajib qada sahaja. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah,kitab al-Shiyam.

2- Wanita menyusui anaknya yang berbuka puasa kerana anaknya.Ini adalah menurut mazhab Syafi'i dan Hambali adapun menurut mazhab Hanafi ia hanya wajib qada sahaja. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah,kitab al-Shiyam.

3- Terpaksa berbuka kerana menyelamatkan orang lain, seperti menyelamatkan orang yang sedang lemas. Al-Iqna' fi Halli Al-Fazh Abi Syuja', jil. 1 hlm. 352.

4- Orang yang melewat-lewatkan qada puasa dengan sengaja, hingga masuk Ramadhan yang baharu. Maka ia wajib membayar fidyah di samping mengqada puasanya. Semakin banyak tahun yang dilangkaui, makin banyaklah fidyah yang perlu dikeluarkan.

5- Orang yang mati meninggalkan puasa; ahli-ahli warisnya boleh memilih antara menggantikan puasa untuknya atau membayar fidyah.

Cara bayaran boleh di buat melalui online mahupun melalui amil yang telah di lantik. 

Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada semua.

Catat Ulasan

0 Ulasan