RAMADAN begitu sinonim dengan bulan keampunan atau maghfirah. Namun begitu, keampunan tidak dapat diperoleh jika kita sendiri tidak berusaha untuk membuat permohonan.
Permohonan yang dimaksudkan ini adalah berdoa kepada ALLAH agar segala dosa kita diampunkan oleh-NYA.
Semua maklum bahawa doa merupakan ‘senjata’ bagi orang Islam.
Alangkah ruginya seandainya kita tidak menggunakan ‘senjata’ itu dalam
bulan Ramadan penuh barakah ini.
Ketahuilah bahawa ada saat-saat tertentu pada bulan Ramadan
al-Mubarak ini, doa kita akan dimakbulkan oleh ALLAH SWT. Insya-ALLAH,
permohonan dan pengharapan kita tadi akan dikabulkan seandainya kita
bersungguh-sungguh dan berada dalam keimanan yang benar.
Ada tiga waktu utama terkabulnya doa dalam bulan Ramadan ini:
1. Waktu sahur
– Rasulullah SAW bersabda: “Tuhan kita telah turun ke langit
dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas, ALLAH berfirman:
‘Siapa sahaja yang berdoa kepada-KU, maka akan AKU kabulkan. Siapa yang
meminta kepada-KU, maka akan AKU beri. Siapa yang meminta ampunan
kepada-KU, maka akan AKU ampuni’.” (Riwayat al-Bukhari)
2. Ketika berpuasa
– Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga orang yang doanya tidak tertolak iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin yang adil dan orang yang dizalimi.” (Riwayat Ahmad)
– Menurut Imam Nawawi: “Disunatkan orang yang berpuasa berpuasa untuk memperbanyakkan doa demi urusan akhirat dan dunianya, juga ia boleh berdoa untuk hajat yang diinginkan, begitu pula jangan lupakan doa kebaikan untuk kaum Muslimin secara umum.” (Al-Majmu’, 6: 273)
3. Semasa berbuka puasa
– Sabda Rasulullah SAW: “Ada tiga orang yang doanya tidak ditolak
iaitu pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika dia berbuka dan
doa orang yang terzalimi.” (Riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
– Doa mudah dimakbulkan ketika berbuka kerana pada saat itu, orang
yang berpuasa telah menyelesaikan ibadahnya dalam keadaan tunduk dan
merendah diri. Ia sebagaimana disebutkan dalam Tuhfah al-Ahwadzi (7:278).
Selain itu, ada beberapa waktu lagi doa paling mustajab pada bulan Ramadan iaitu:
– Satu pertiga malam yang terakhir
– Malam lailatulqadar
– Ketika azan
– Di antara azan dan iqamat
– Ketika sujud dalam solat
– Ketika hujan turun
Ayuh bersama-sama kita panjatkan doa dengan bersungguh-sungguh terutama pada bulan Ramadan.
Selain berdoa agar dosa kita diampunkan dan hajat-hajat peribadi,
jangan lupa memohon supaya ALLAH segera mengangkat wabak Covid-19 dari
muka bumi ini. Semoga ALLAH akan kabulkan segala permintaan kita.
Ingat! Doa orang yang berpuasa pada bulan Ramadan ini sangat
mustajab. Namun begitu, jangan berputus harap seandainya doa kita tidak
segera dimakbulkan.
Boleh jadi ALLAH tidak kabulkan segala permintaan sekarang, tetapi ‘disimpan’ untuk dimakbulkan dalam masa yang lain.
Apa yang penting usaha kita untuk terus berdoa kepada ALLAH yang
mencipta sekalian alam dan menjadi tempat kita untuk bergantung harap.
Hiasilah diri kita dengan sifat sabar yang terindah agar terus tekun
memanjatkan doa walaupun mengambil masa untuk dikabulkan.
0 Ulasan