Ticker

6/recent/ticker-posts

4 Sebab Hamas Serang Balas Walaupun Mahal Harganya

 Assalamualaikum

Gaza diserang lagi.

Setelah umat Islam diserang di Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, regim zionis bertindak lebih ganas dengan menyerang Gaza.

Sekurang-kurangnya 80 kematian di kalangan rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Doakan kebaikan buat umat Islam dan dihancurkan kekuatan musuh durjana yang zalim dan sombong ini.

di Gaza Covid-19 masih juga ada dan sekarang mereka sedang berjuang.

Jadi kita muhasabah diri.

Acik tertarik dengan posting dari saudara Khalid jimat 

Kredit foto: Pocik Hisham

Ada orang bertanya, mengapa kumpulan pejuang di Gaza menyerang Zionis jika mereka tahu harganya ialah lebih ramai rakyat Palestin di Gaza akan terkorban?

Mengapa cari nahas jika sudah tahu kekuatan Zionis itu jauh lebih besar?
.

Tiadakah cara lain yang boleh digunakan untuk membantah tindakan Zionis menceroboh Masjid al-Aqsa, yang tidak menyebabkan banyak nyawa rakyat Palestin terkorban?
.

Berikut adalah jawapan saya:

1. Zionis adalah penjajah yang telah merampas tanah air dan harta rakyat Palestin serta membunuh dan menzalimi mereka lebih daripada 7 dekad.

Memerangi penjajah adalah dibenarkan bahkan dituntut di dalam agama.
.
“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Al-Hajj: 39)

"Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" (Al-Baqarah: 246)
.

Undang-undang antarabangsa juga mengiktiraf hak mereka yang dijajah untuk menggunakan pelbagai cara termasuk jalan ketenteraan untuk mengambil semula hak mereka yang telah dirampas.

Resolusi PBB 37/43, 3 Disember 1982, "menegaskan kembali kesahihan perjuangan mana-mana rakyat untuk mendapatkan kemerdekaan, integriti wilayah, perpaduan nasional dan pembebasan dari penjajahan dan penguasaan asing dengan segala cara yang ada, termasuk perjuangan bersenjata."
.

Dengan kata lain, tindakan pejuang di Gaza menyerang Zionis adalah tindakan yang sah; walau tanpa sebarang provokasi (ke atas Masjid al-Aqsa) sekalipun. Selagi mereka masih dijajah, mereka berhak melancarkan serangan ke atas Israel.
.

2. Tindakan Zionis menyerang dan membunuh rakyat Palestin di Gaza secara keterlaluan (excessive) dan semberono (indiscriminate) melanggar undang-undang ketika perang (Law of War) dan International Humanitarian Law.

Penggunaan kuasa secara keterlaluan (disproportionate use of force) dan membunuh orang awam yang tidak terlibat dengan perang (non-combatant) juga dilarang.
.
Islam turut menyebut tentang prinsip ini di dalam al-Quran:

“...Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 194)
.

Tindakan Zionis melanggar undang-undang dan menyebabkan kematian ramai rakyat awam Palestin tidak seharusnya diletakkan di atas bahu kumpulan pejuang Palestin yang melaksanakan perjuangan mereka secara sah. Yang bersalah adalah Zionis.
.

Jika kita meletakkan kesalahan ini ke atas kumpulan pejuang, kita samalah dengan Zionis yang sering menyalahkan Palestin di atas segala yang berlaku ke atas Israel (blaming the victim). Walhal Palestin adalah mangsa, Zionis adalah pemangsa.

Ini taktik klasik Zionis untuk mengelak daripada dipertanggungjawabkan ke atas jenayah yang mereka lakukan.
.

3. Besar atau kuatnya sesuatu kuasa tidak bermakna mereka di pihak yang benar. Boleh sahaja mereka yang besar dan kuat itu adalah yang zalim (oppressor). Selalunya itulah yang terjadi. Power corrupts. Absolute power corrupts absolutely!

Seperti yang telah disebutkan, perjuangan menentang golongan yang zalim adalah wajib. Dan kewajipan tersebut tidak gugur biarpun pihak yang zalim itu besar dan kuat.
.
Banyak contoh dalam sejarah bagaimana pihak yang kecil dan lemah tetapi benar dalam perjuangan mereka menang ke atas pihak yang lebih besar dan kuat tetapi mempunyai perjuangan yang salah. Tidakkah pernah kita dengar tentang pepatah ‘David vs Goliath’?
.
Janganlah kita menjadi seperti Bani Israel ketika diseru oleh Nabi Musa alaihissalam untuk berperang membebaskan bumi suci Palestin, mereka menjawab:

"Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)". (Al-Maaidah 5:22)

Apabila Allah SWT menjanjikan kemenangan mereka berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu".
(Al-Maaidah 5:24)

Lalu Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu". (Al-Maaidah 5:26)
.

Justeru, tidak semestinya bila yang kecil mencabar yang besar mereka adalah pencari nahas. Gelaran yang lebih layak buat mereka ialah pemberani! Himpunan pemberani-pemberanilah yang akhirnya melemah yang besar dan kuat tetapi zalim.
.

4. Perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaan bukan satu hal yang baru. Ia telah berjalan sejak Palestin berada di bawah penjajahan British lagi (1917-1948).

Penentangan yang berlaku pada hari ini pernah berlaku ketika Palestin di bawah penjajahan British - Intifada al-Quds (1920), Intifada Buraq (1929), Great Arab Revolt (1936-1939).
.

Rakyat Palestin telah menggunakan pelbagai cara untuk melawan penjajahan Zionis - protes (civil disobedience), mogok, boikot bayar cukai, penentangan bersenjata. Ratusan telah gugur syahid dan ribuan hilang tempat tinggal. Jumlah pelarian Palestin hari ini lebih 6 juta; hampir separuh daripada jumlah keseluruhan rakyat Palestin di dunia.
.

Tindakan kumpulan pejuang di Gaza melancarkan serangan ke atas Zionis sebagai tindak balas kepada provokasi, pencerobohan dan serangan mereka di Masjid al-Aqsa adalah tamparan kepada negara-negara Arab dan Islam yang terus berpeluk tubuh melihat tempat suci umat Islam dinodai sebegitu rupa.
.

Masjid al-Aqsa bukan baru setahun dua dijajah. Masjid suci ini telah dijajah sejak tahun 1967! Dah 54 tahun!

Mereka sebenarnya sedang mengajar kita jalan kepada pembebasan Palestin dan Masjid al-Aqsa!

Jalan jihad dan perjuangan!

Jalan serupa yang dilalui Rasulullah SAW dan para sahabat radhiallahu anhum serta Imaduddin Zanki, Nuruddin Zanki dan Salahuddin al-Ayyubi!
.

Dan kita mempersoal tindakan mereka? Apakah kita tidak nampak apa yang sedang berlaku ke atas Masjid al-Aqsa?

Bukankah dalam fiqh awlawiyyat, memelihara ad-Din itu lebih utama daripada menjaga nyawa? Bukankah memelihara kesucian Masjid al-Aqsa itu sebahagian daripada akidah?
.

Cara apa lagi selain penentangan bersenjata? Cara apa lagi yang boleh menghentikan kebiadaban dan wewenang Zionis?

Diplomasi? Kumpulan pejuang di Gaza tidak diiktiraf walaupun mereka menang dalam pilihanraya. Sebaliknya kerajaan diboikot dan mereka dilabel sebagai pengganas!
.

Perjanjian damai? Apa natijah perjanjian damai antara PLO/Fatah dengan rejim Zionis sejak 1993? Apakah ada tanah Palestin yang dapat diambil semula? Adakah Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis telah dikembalikan kepada kita?

Bukankah Palestin semakin terhina dengan dengan proses damai ini dengan tawaran dan kompromi yang tidak masuk akal? Berapa banyak penempatan haram Yahudi dibina dalam tempoh ini? Berapa banyak rumah-rumah rakyat Palestin dirobohkan? Berapa kali Masjid al-Aqsa diceroboh dan dicemarkan?
.

Dan yang paling penting, apakah kita melihat ada rakyat Gaza yang membantah tindakan kumpulan pejuang menyerang Zionis?

Hari ini bukan sahaja rakyat Gaza bersorak apabila melihat roket-roket dilancarkan. Rakyat Palestin di Baitulmaqdis, Lod, Jaffa, Haifa, Nablus dan Akka bersorak apabila siren berbunyi di tempat mereka menandakan ada roket dari Gaza yang tiba di kawasan mereka.

Yang mereka salahkan ialah tentera Zionis. Yang mereka sentiasa letakkan sepenuh pengharapan ialah Allah SWT!

Hasbunallahwanikmalwakil.
.

Please wake up!

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah 2:216)

- Khalid Jimat,
Pegawai Penyelidik,

untuk dapatkan maklumat lebih lanjut ke telegrem PACE


Catat Ulasan

2 Ulasan

paridah berkata…
semoga kezaliman yg dilakukan berpaling kpd pelakunya insyaAllah
SalbiahM berkata…
Hak dan bangsa perlu dipertahankan. Semoga Allah balas kezaliman Israel