Ticker

6/recent/ticker-posts

Umat Islam Hendaklah Berhati-hati dengan Ajaran Qadiani Yang Difatwakan Sesat

 Assalamualaikum 

Fenomena kemunculan ajaran sesat seringkali berlaku. Kewujudannya merentasi masa, tempat dan keadaan.Ianya perlu dibentung kerana bakal mempengaruhi masyarakat terutama golangan remaja. 

Pernah dengar Ajaran Qadiani ? 

Sejarah Ajaran Qadiani

1. Ajaran Qadiani berasal daripada India dan diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad bin Ghulam Murtadha Bin Atta Muhammad yang dilahirkan di Qadian, berhampiran kota Amritsar, Punjab. 

2.  Diasaskan di Malaysia pada tahun 1889 dan dipercayai mula bertapak pada tahun 1930 di Batu 20, Kuala Selangor, Selangor. 

3. Gerakan Qadiani ini turut dikenali sebagai Ahmadiyah, Ahmadi atau Ahmadiyyat yang pada asasnya berpegang kepada kepercayaan bahawa ajaran Mirza adalah ajaran yang sebenar. 

4. Pada 15 Disember 1953, telah diadakan perbahasana antara kumpulan ini dengan para alim ulama di hadapan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa ajaran Qadiani tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam, malah terkeluar daripada Islam. Disebabkan itu, gerakan kumpulan Qadiani ini semakin lumpuh.
 

Mengapa Ajaran Qadiani Diisytiharkan Sesat?

1. Mirza Ghulam Ahmad mendakwa dirinya sebagai Nabi yang menerima wahyu. Katanya : 

" Demi Allah yang nyawa saya di tanganNya. Dialah yang telah mengutus dan menamakan saya Nabi dan menunjukkan bukti-bukti yang jelas tentang kebenaran dakwaan saya yang jumlahnya sampai tiga ratus ribu bukti,".

2. Mirza Ghulam Ahmad juga mendakwa dirinya sebagai Isa al-Masih selepas didesak oleh orang kanannya dengan tujuan menguatkan ajaran dan keyakinan pengikutnya.

3. Mirza Ghulam Ahmad mengatakan bahawa Nabi Isa benar-benar dibunuh dan bukannya diangkat ke langit oleh Allah dan orang yang mati tidak mungkin akan hidup ke dunia lagi.

4. Mirza Ghulam Ahmad juga mendakwa dirinya mempunyai Mukjizat. Katanya :

"Nabi Allah itu telah mewujudkan tiga ribu mukjizat dan saya melebihi dari satu juta"

"Bulan yang terang menjadi gerhana kerana saya, masakan dapat menafikan bulan dan matahari menjadi pucat kerana saya,".

5. Mirza Ghulam Ahmad juga mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi selepas mengaku dirinya sebagai Mujaddid.

6. Mirza Ghulam Ahmad turut menafikan konsep jihad.

"Jihad dengan pedang telah dilarang. Semua peperangan untuk agama sekarang ini telah ditegah. Sekarang jihad untuk agama telah diharamkan. Pada pendapat saya, tiada doktrin yang memburukkan nama Islam lebih daripada doktrin jihad. Saya menghabiskan sebahagian besar umur saya untuk mengiyakan kerajaan British dan menentang jihad,".

7. Mirza Ghulam Ahmad turut melakukan tahrif Al-Quran iaitu mengubah ayat-ayat suci Al-Quran mengikut kehendaknya sendiri agar bertepatan dengan dakwaan-dakwaannya. 

8. Malaikat sebagai pancaindera tuhan.

Disebabkan dakwaan-dakwaan itu, Fatwa Selangor pada 24 Disember 1998, kerajaan negeri Selangor telah memutuskan bahawa : 

1. Ajaran Qadiani adalah satu ajaran yang menyalahi ajaran Islam yang sebenarnya. Pengikut-pengikut ajaran Qadiani itu telah dihukumkan kafir oleh ulama Islam serata dunia.

2. Jabatan Agama Islam Selangor melalui Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak telah menghukumkan kafir kepada pengikut-pengikut Qadiani yang berpusat di Batu 20, Jeram, Kuala Selangor pada 15 Disember 1953 setelah mereka dibicarakan di Istana Kuala Lumpur di hadapan Sultan Selangor dan beberapa alim ulama di negeri Selangor. Setiap orang yang telah menjadi penganut ajaran Qadiani adalah telah murtad. Maka, wajiblah dituntut mereka bertaubat dan kembali kepada Islam dengan ikrar dua kalimah syahadah. 
 

3. Antara ciri-ciri ajaran Qadiani seperti yang dinyatakan di atas. 

4. Orang-orang Islam dilarang menjual, mengedar, membeli, memiliki atau memberi ceramah tentang isi kandungan buku-buku berikut :

- Invitation To Ahmadiyah yang dikarang oleh Hazrat Hj Mirza Bashir-ud-din Ahmad (Khalifatul Masih II) 

- Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahmadiyyah yang ditulis oleh Pengurus Besar Jema'at Ahmadiah

- Alam Sebagai Saksi yang dikarang oleh Mohamad Zain Bin Hasan

- The Holy Quran With English Translation and Commentary (Vol II, Part 1) yang dikarang oleh M Mas'ud Ahmad.

Fatwa tahun 1998 telah diperincikan lagi pada tahun 2000 iaitu :

Memandangkan mana-mana orang yang telah menganut ajaran Qadiani telah menjadi murtad, akibatnya dari segi hukum syarak dan undang-undang sivil adalah : 

1. Perkahwinan orang tersebut boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 46, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984.
 
2. Orang tersebut tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya

3. Orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat-kerabat Muslimnya

4. Orang tersebut tidak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan sekiranya hak-hak tersebut telah diberi, dinikmati atau diperoleh oleh orang tersebut, ia hendaklah terhenti dari berkuatkuasa dan bolehlah dilucut, ditarik balik dan dibatalkan mengikut mana berkenaan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
 
Kesimpulannya, kuatkan akidah kita, kalau ada keraguan tanyalah pada yang ahlinya dan apa jua alasan kita haruslah berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
 
Rujuklah jabatan-jabatan agama sebagai contoh Majlis Agama Islam Selangor jika terdapat keraguan atau ketidakpastian.


 

 

Catat Ulasan

1 Ulasan

paridah berkata…
MOGA IMAN KITA SEBAGAI UMAT SLAM SEJATI