Assalamualaikum
Ratip tiap hari kita bermohon kepada ALLAH, bahawa temuilah aku jodoh yang terbaik. Dalam menerima segala kekurangan diri kita. Tapi hakikatnya doa kita yang "terbaik ". Biasanya yang terbaik itu selalunya lambat. Jadi haruslah sabar dalam menanti dalam pencarian jodoh.
Yang lambat selalunya yang terbaik, amin ya rabb.
Sambil usap dada, pujuk diri.
Kita sebagai hamba-Nya yang beriman berusaha untuk meyakini dan selalu berbaik sangka pada Allah. Segala hal yang terjadi dalam hidup kita adalah suratan takdir dari yang Maha Kuasa, sebagaimuslim dan muslimah kita hanya dapat berusaha dengan cara berdoa dan memperbaiki diri, untuk hasilnya kita pasrahkan sepenuhnya kepada yang menjadikan hidup.
Hakikatnya soal jodoh kita berdoa, berusaha dan serahkan kepada Allah. Jodoh cepat, jodoh lambat, tiada jodoh, semua adalah ujian. Semua juga adalah kasih sayang. Ini tanda kasih sayang daripada Tuhan yang satu. Anda belum berjumpa jodoh, bercintalah dengan Tuhan dulu.
Kita meyakini akan takdir Allah dan kita juga memahami akan kaitannya dengan amalan manusia.. Allah telah mentakdirkan sesuatu, tetapi manusia itu mampu memilih sama ada untuk melalui jalan yang baik mahupun yang buruk dengan panduan akal dan hati, tempat letaknya ilmu dan iman. Sama ada kita nak menjadi seorang yang taat beribadah, atau menjadi ahli maksiat, itu adalah pilihan kita sendiri tanpa menafikan ia juga adalah takdir Allah. Yang tidak boleh diubah adalah sesuatu yang di luar bidang kemampuan manusia seperti waktu kematian, pertukaran malam dan siang, pergerakan planet-planet dan macam-macam lagi.
Berbalik kepada persoalan jodoh.. ia sama juga kaedahnya macam rezeki,kita diperintahkan untuk mencarinya.. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. menyuruh untuk memilih wanita (pasangan) yang beragama. Ini menunjukkan bahawa ia juga satu usaha dan pilihan manusia untuk mencari pasangan yang beragama, dan bukannya sekadar menunggu jodoh turun daripada langit. Begitu juga dengan rezeki, walaupun ia telah ditetapkan, kita tetap disuruh untuk mencari rezeki Allah di atas muka bumi ini. Ikhtiar dan usaha kita ini adalah sebagai tanda ketaatan kita kepada perintah Allah, juga sebagai ujian terhadap kita sama ada kita meyakini rezeki yang kita cari itu adalah disebabkan usaha kita sendiri, ataupun kita meyakini yang rezeki itu datangnya daripada Allah.. hasil keyakinan inilah yang akan membezakan kedudukan kita, sama ada syirik kepada Allah, atau beriman dengan Allah.. Jika kita meyakini usaha kita mencari rezeki sehingga terlupa dari mana datangnya rezeki itu (dari Allah), maka kita akan menjadi seorang yang kufur nikmat, bongkak, busuk hati, kaki busuk dsb.
Jadi, oleh kerana jodoh itu juga sesuatu yang mampu kita usahakan, maka tiada salahnya untuk kita berdoa semoga disatukan dengan pilihan hati kita. Berdoa itu juga termasuk dalam usaha dan ikhtiar. Namun, keyakinan kita tetap pada Allah yang menetapkan jodoh kita.Seandainya kekasih hati itu menjadi jodoh kita, kita akan bersyukur dengan jodoh yang ditentukan Allah itu.jika ditakdirkan dia bukan jodoh kita, kita akan sabar dan redha kerana yakin jodoh itu ditentukan oleh Allah.
Acik tak berapa suka nak guna istilah ‘mengubah’ takdir, sebab kita tak tahu pun apa takdir kita.. jadi, bagaimana kita nak tahu ia telah diubah atau memang itu yang ditetapkan oleh Allah? Istilah yang lebih sesuai adalah menggunakan istilah ‘memilih’.Allah telah berikan kita akal untuk memilih,nak pilih jodoh yang baik, ataupun nak pilih jodoh yang tak berapa baik itu adalah pilihan kita. Namun, kita tetap berkeyakinan yang akhirnya ia akan menjadi kenyataan atau tidak dengan izin daripada Allah. Kita pilih orang itu, orang ini, tapi kalau Allah tak izinkan, maka ia takkan menjadi jodoh kita.
Bagi acik daripada berdoa supaya seseorang itu menjadi jodoh kita, adalah lebih baik kita beristikharah memohon petunjuk daripada Allah. Sebab ilmu dan pengetahuan kita ini sangat terbatas.. ditambah lagi dengan dorongan nafsu yang kadang-kadang membutakan penilaian akal.Kita cuma nampak apa yang zahir pada pandangan mata kita.. kita tengok jejaka itu putih melepak, mungkin kita menyangka beliau seorang pembersih, sentiasa wangi tapi mungkin hakikatnya bukan begitu. Hanya Allah saja yang mengetahui sama ada seseorang itu baik atau tak, layak dibuat pasangan atau tak.
Jadi, nasihat acik.. jika nak berdoa, berdoalah dengan penuh pengharapan dan penyerahan..
“Jika ditakdirkan dia adalah jodoh yang terbaik buatku, mudahkanlah urusanku untuk bertemu jodoh dengannya.. jika ditakdirkan dia bukan jodoh terbaik buatku, padamkanlah perasaan ini dan jauhkanlah aku daripadanya”..
0 Ulasan