Assalamualaikum
Ala jodoh aku dah ditentukan, jadi biarlah, sahut Mamat.
Buat apa aku berusaha tetap sama ceritanya dan ditakdirkan.
Mungkin akan ada pemikiran seperti ini, semua telah ditentukan.
Tetapi perlu ingat, adakah wajar kita membiarkan tanpa berusaha duduk diam menunggu semata ?
Adakah kalau kita tak makan kita akan kenyang sendiri ?
Begitu juga, kita tak kerja takkan duit datang bergolek.
Benar, memang takdir telah ditetapkan sejak di luh mahfuz lagi. Namun, sebagai hamba, kita sebenarnya digalakkan memohon dan mengadu segalanya kepada-NYA menerusi doa. Kuasa doa sebenarnya begitu hebat hinggakan mampu mengubah sesetengah takdir yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.
Apakah takdir yang boleh diubah? Apakah cara untuk mengubah takdir?
Takdir yang terbahagi kepada dua bahagian.
Pertama, takbir mubram iaitu takdir yang muktamad dan sudah tertulis sejak azali lagi."Contohnya, kematian. Ia tak boleh ubah kerana kita akan mati. Bila waktunya? Wallahua'lam kita tak tahu. Begitu juga dengan hari kiamat yang tidak boleh diubah.
Takdir kedua, ia dipanggil sebagai takdir muallaq. Takdir jenis itulah yang boleh berubah-ubah kerana ada sebab yang akan mengakibatkan ia berubah.
"Ya, takdir muallaq itu memang telah ditetapkan oleh ALLAH, tetapi ia boleh berubah. Contohnya, jodoh yang mana ALLAH sudah menetapkan jodoh kita. Namun, kita boleh berusaha dengan cara yang lebih baik lagi untuk mendapatkan jodoh yang lebih baik daripada yang kita sangkakan.
"Begitu juga rezeki, meskipun ia sudah ditetapkan, tetapi rezeki kita boleh jadi bertambah baik atau berkurang. Kenapa jadi begitu? Sebab yang pertama ialah atas usaha kita dan kedua ialah doa.
Allah SWT telah menjadikan doa sebagai sebab untuk meraih apa yang diinginkan. Allah SWT berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
Surah Ghafir (60)
Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24)
Kita disuruh berdoa kerana besarnya kesannya terhadap apa yang akan berlaku. Daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ
Maksudnya: “Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”
Riwayat al-Tirmizi (3548)
Manakala dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW menjelaskan betapa besarnya kuasa doa sehingga mampu mengubah sesuatu takdir. Daripada Thauban R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ
Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.”
Riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22745) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9752)
Intinya Jangan pernah bosan berdoa untuk jodoh. Berdoalah dari sekarang. Jangan sesekali menyerah saat doamu belum terjawab kerana takdir Allah itu cukup indah. Mungkin daripada beribu doa, ada salah satunya didengari ALLAH.
Jadi teruskan berdoa dan berdoa.
Maka, di sini kita dapat memahami bahawa dalam menetapkan satu-satu ketentuan kepada hamba-Nya, Allah SWT turut menyediakan ketentuan yang lain bergantung kepada usaha hamba-Nya. Kesimpulannya, pembahagian ini sememangnya terdapat dalam al-Qur’an dan al-Hadis dan ia bukanlah satu perkara yang direka-reka tanpa asas yang jelas daripada kedua-duanya.
0 Ulasan